fb fb fb fb fb

Krisis Myanmar, Anwar gesa 5PC dilaksanakan

JAKARTA, 6 September - Kekecewaan terhadap junta tentera Myanmar dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Asean ke-43, di sini.

Perdana Menteri turut menyuarakan kekecewaan Malaysia terhadap kurangnya kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan ketidakstabilan yang berterusan di Myanmar.

Anwar menegaskan adalah mustahak untuk Konsensus Lima Perkara (5PC) yang diuruskan oleh ASEAN dilaksanakan.

Ini kerana katanya konflik di Myanmar memberi kesan bukan sahaja kepada rakyatnya sendiri tetapi juga kepada negara jiran seperti Malaysia.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi pemukiman Sidang
Kemuncak ASEAN di Jakarta, Indonesia)

"Saya fikir dalam penegasan semula pendirian kita berkait perlaksanaan Konsensus Lima Perkara, kita nyatakan pendirian kita. Pada masa sama semasa mesyuarat terdahulu di Labuan Bajo, kita ada memberi indikasi negara-negara sendiri boleh terus terlibat selagi mereka boleh mematuhi sepenuhnya 5PC.

"Bagi saya, saya tidak melihat solusi segera kepada konflik ini. Kita tidak boleh ambil mudah terhadap kekejaman yang berlaku meski bukan semua yang dilakukan oleh Junta," katanya.

Anwar menyatakan demikian semasa sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN.

Dalam pada itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN itu juga, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja yang baharu Hun Manet dan bertukar pandangan mengenai isu dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan Manet dan bersetuju untuk meneroka lebih banyak kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Media Baharu