fb fb fb fb fb

PRK Pulai: 87 peratus keluar mengundi awal setakat 3 petang

(Foto Bernama)

JOHOR BAHRU, 5 September- Pusat pengundian awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, ditutup pukul 5 petang ini.

Terdahulu, pusat pengundian awal di Balai Polis Kempas pula ditutup 12 tengah hari tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata setakat pukul 3 petang, peratusan keluar mengundi awal bagi PRK tersebut mencatatkan 87 peratus.

"Kalau kita tengok dari segi 'trend' itu amat baik, sejam yang pertama sudah 16 peratus, sejam yang kedua 30 peratus dan saya melihat pihak anggota juga memantau kehadiran...macam di sini kita ada ada 4, 5 kaunter memantau anggota masing-masing untuk hadir dalam proses undi awal," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pengundian Awal, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 927 pegawai dan anggota polis mengundi awal hari ini.

SPR menyasarkan peratusan keluar undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai mencecah 99 peratus.

(Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh)

Media Baharu