fb fb fb fb fb

PRK: Polis Johor terima 28 laporan

(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua, kiri) ketika
meninjau proses undi awal sempena PRK Parlimen Pulai di
Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Tampoi hari ini/Foto Bernama)

JOHOR BAHRU, 5 September- Sebanyak 28 laporan polis diterima setakat ini, sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kebanyakan laporan membabitkan kesalahan merosakkan bahan kempen seperti bendera parti dan papan iklan.

"Jumlah keseluruhan 28 laporan diterima...kebanyakan berkaitan dengan kesalahan merosakkan bendera, papan iklan.

"Sebanyak empat kes berhubung isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) turut kita terima...dua kes disiasat di Johor dan dua lagi disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman," katanya.

(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)

Beliau ditemui pemberita selepas membuat tinjauan proses undi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini hari ini.

Tambah bilangan polis trafik, pastikan kelancaran proses pengundian

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberitahu bilangan pegawai dan anggota polis trafik akan ditambah bagi melancarkan perjalanan pengundi yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi pada PRK Pulai dan Simpang Jeram, Sabtu ini.

Pihaknya bakal menambah kekuatan petugas bermula Jumaat ini untuk memastikan kesesakan jalan raya dapat dikawal.

Ia berikutan laluan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bakal dibuka sepenuhnya bagi memudahkan perjalanan pengundi.

"Memang akan ada tambahan anggota...belum ditentukan lagi kerana di BSI pun kita sudah ada 200 lebih pegawai dan anggota...polis trafik ada dalam 60 orang, mungkin saya akan tambah lagi kekuatan trafik yang penting di sini.

"Laluan khas, kita buka semua laluan kita dan sudah berbincang dengan pihak Imigresen dan Kerajaan Negeri pun akan memastikan bahawa semua laluan itu akan dibuka," katanya.

Media Baharu