fb fb fb fb fb

Enam bilion tan pasir diekstrak dari lautan dunia setiap tahun - PBB

(FOTO AFP)

GENEVA, 6 September – Kira-kira enam bilion tan pasir dan sedimen lain diekstrak dari lautan dunia setiap tahun, kata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa sambil memberi amaran mengenai kesan buruk yang dahsyat terhadap biodiversiti dan komuniti pantai.

Mengumumkan pelancaran platform data global pertama mengenai pengekstrakan sedimen dalam persekitaran marin, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP) memberi amaran bahawa skala pengorekan semakin berkembang, dengan kesan yang amat buruk.

(Pengorekan pasir yang tidak dikawal membawa kepada kesan buruk yang dahsyat
terhadap biodiversiti dan komuniti pantai / FOTO AFP)

“Skala kesan alam sekitar aktiviti perlombongan laut cetek dan pengorekan ini amat membimbangkan,” kata Pascal Peduzzi, yang mengetuai pusat analisis UNEP GRID-Geneva.

Beliau menunjukkan kesan terhadap biodiversiti, serta kekeruhan air dan kesan bunyi ke atas mamalia marin.

Platform data baharu menerusi Marine Sand Watch, menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjejak dan memantau aktiviti pengorekan pasir, tanah liat, kelodak, kerikil dan batu di persekitaran marin dunia.

Ia menggunakan apa yang dipanggil sebagai isyarat Sistem Pengenalan Automatik (AIS) untuk kapal yang digabungkan dengan AI bagi mengenal pasti operasi kapal pengorekan, termasuk di kawasan panas seperti Laut Utara dan pantai timur Amerika Syarikat.

“Isyarat yang dipancarkan oleh kapal membenarkan akses kepada pergerakan setiap kapal di planet ini,” kata Peduzzi kepada AFP, sambil menambah bahawa AI membolehkan lambakan data yang dikumpulkan untuk dianalisis.

Proses itu masih di peringkat awal, dan setakat ini, hanya sekitar 50 peratus kapal sedang dipantau.–AFP

Media Baharu