fb fb fb fb fb

Krisis Gaza semakin meruncing, UNSC desak bantuan segera

Foto REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 19 November- Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mendesak agar bantuan segera ditingkatkan untuk rakyat Gaza yang memerlukan, sambil memberi amaran bahawa keadaan di wilayah Palestin itu semakin meruncing.

Setiausaha Luar Britain, David Lammy, menegaskan keperluan peningkatan besar dalam bantuan kepada Gaza, di mana sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduknya telah dipindahkan.

Pegawai kesihatan melaporkan lebih 43,922 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel.

“Keadaan sangat dahsyat, di luar jangkaan, dan semakin memburuk.

"Musim sejuk telah tiba. Kebuluran sedang menghampiri, dan selepas 400 hari peperangan ini, amat tidak boleh diterima bahawa bantuan semakin sukar disalurkan ke Gaza,” katanya di sini.

Sementara itu, Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Proses Damai Asia Barat, Tor Wennesland berkata agensi kemanusiaan menghadapi cabaran besar serta persekitaran operasi yang berbahaya di Gaza, selain sekatan akses yang menghalang usaha mereka.

“Situasi kemanusiaan di Gaza, dengan musim sejuk yang bermula semakin teruk terutama di utara Gaza, di mana hampir keseluruhan penduduk terpaksa berpindah.

"Konflik Israel-Hamas juga menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Keadaan ini seperti mengabaikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara serius.

“Keadaan semasa adalah antara yang paling buruk pernah kita saksikan sepanjang konflik ini dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan bertambah baik,” katanya. - REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM