fb fb fb fb fb

Krisis dana WFP: Lebih sejuta pelarian Rohingya diancam kebuluran

Seorang gadis Rohingya menyuapkan makanan kepada seorang kanak-kanak dari sebuah balang yang mempunyai logo USAID, di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh / Foto REUTERS

NEW DELHI, 8 Mac– Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menyeru pembiayaan segera untuk operasinya di Bangladesh.

Organisasi tersebut turut memberi amaran bahawa defisit dana akan menyebabkan pengurangan bekalan makanan kepada pelarian Rohingya di penempatan pelarian terbesar di dunia.

Reuters melaporkan bahawa PBB terpaksa mengurangkan bantuan makanan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh daripada AS$12.50 kepada AS$6 sebulan mulai April selepas gagal mendapatkan pembiayaan yang mencukupi.

Keputusan pentadbiran Trump untuk mengurangkan bantuan asing Amerika Syarikat di peringkat global, berkemungkinan menjadi faktor utama pengurangan memandangkan AS merupakan penyumbang terbesar dalam krisis Rohingya.

"Pelarian Rohingya di Bangladesh bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

"Sebarang pengurangan bantuan makanan akan menyebabkan mereka semakin terjerumus ke dalam kebuluran dan memaksa mereka mengambil langkah terdesak hanya untuk bertahan," kata Dom Scalpelli, Pengarah WFP di Bangladesh, dalam satu kenyataan.

WFP menyatakan bahawa mereka telah mula berkomunikasi dengan komuniti Rohingya mengenai kemungkinan pengurangan bekalan makanan.

Bangladesh kini menampung lebih daripada satu juta pelarian Rohingya, anggota minoriti Muslim yang ditindas dan melarikan diri daripada pembersihan ganas di negara jiran Myanmar, terutamanya pada tahun 2016 dan 2017 di daerah Cox’s Bazar, di mana mereka mempunyai akses terhad kepada peluang pekerjaan atau pendidikan.

Pemotongan dana pada bulan Mac ini berlaku ketika umat Islam sedang menyambut bulan suci Ramadan, dan WFP menganggarkan bahawa mereka memerlukan $15 juta pada April untuk mengekalkan bantuan makanan penuh.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD