NABLUS, 8 Mac-Pegawai Palestin mengecam pembakaran sebahagian masjid bersejarah di sini yang didakwa dilakukan semasa serbuan oleh tentera Israel.
Pihak berkuasa agama tempatan menyatakan bahawa sejumlah enam masjid telah menjadi sasaran.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin menyifatkan kerosakan pada masjid-masjid di Nablus sebagai "serangan serius dari segi skala dan waktunya.
Pengarah Wakaf Nablus, Sheikh Nasser Al-Salman, mengecam "pencerobohan kejam tentera Israel terhadap masjid-masjid di Nablus".
Dalam satu kenyataan, beliau menuduh Israel "bekerja keras untuk mencabuli tempat-tempat suci Islam dan masjid pada kadar yang semakin meningkat".
Rakaman AFPTV pada Jumaat menunjukkan penduduk Palestin memeriksa bahagian dalam Masjid al-Nasr yang hangus dan sebahagiannya terbakar yang merupakan sebuah mercu tanda di Kota Lama Nablus.
Saksi yang ditemu bual oleh AFP berkata operasi ketenteraan itu berlaku antara pukul 2:00 pagi hingga 6:30 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, majlis perbandaran Nablus mengecam tindakan tentera Israel yang "membakar Masjid al-Nasr, yang dianggap sebagai masjid bersejarah dan mercu tanda warisan penting di dalam Kota Lama".
Datuk Bandar Nablus, Husam Shakhshir, berkata bahawa pasukan Israel telah menghalang pasukan bomba dan menghalang mereka daripada sampai ke lokasi kebakaran.
Israel telah melancarkan serangan selama beberapa minggu di utara Tebing Barat yang bermula di sekitar kem pelarian yang dianggap sebagai kubu kuat pejuang Palestin.
Sejak itu, serangan telah berkembang ke lebih banyak kawasan, menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan menyaksikan penggunaan pertama kereta kebal Israel di wilayah itu dalam tempoh 20 tahun.-AFP.