GENEVA, 8 Mac-Switzerland pada Jumaat mengumumkan pembekuan aset yang lebih ketat terhadap bekas presiden Syria, Bashar al-Assad, dan orang-orang terdekatnya.
Kerajaan Switzerland menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk memastikan bahawa, tiada dana dari bekas kerajaan Assad dapat dikeluarkan dari Switzerland.
Switzerland sebelum ini telah menyelaraskan sekatan dengan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Syria sejak 2011, termasuk langkah pembekuan aset.
"Di Switzerland, aset bernilai sekitar 99 juta franc Swiss (AS$112.5 juta) telah dibekukan, di mana kira-kira dua pertiga daripadanya dikaitkan dengan bekas anggota kerajaan Assad dan orang-orang terdekat mereka," kata kerajaan Switzerland dalam satu kenyataan.
Kerajaan Switzerland turut mengenakan langkah pembekuan tambahan terhadap aset-aset ini, yang mungkin diperoleh secara tidak sah, bagi memastikan dana tersebut kekal dibekukan tanpa mengira sebarang perkembangan berkaitan sekatan.
Keputusan itu juga membolehkan pembekuan aset yang diperoleh secara tidak sah oleh lima individu lain yang mempunyai kaitan dengan bekas kerajaan Syria.
"Jika dalam prosiding jenayah dan bantuan perundangan di masa depan didapati bahawa dana tersebut memang berasal dari sumber yang tidak sah, Switzerland akan berusaha untuk mengembalikannya dengan cara yang memberi manfaat kepada rakyat Syria," tambah kerajaan Switzerland.
Langkah-langkah berkenaan menyasarkan individu yang memegang jawatan awam di bawah pemerintahan keluarga Assad atau mempunyai hubungan rapat dengan mereka.
Bulan lalu, EU telah melonggarkan sekatan terhadap sektor tenaga, pengangkutan, dan perbankan Syria dalam usaha membantu pembinaan semula negara itu selepas kejatuhan Assad.
Sementara itu, pada Khamis, Britain mengumumkan pemansuhan sekatan terhadap 24 entiti yang dikenakan semasa pemerintahan Assad, termasuk bank pusat Syria.
Serangan pemberontak yang menjatuhkan Assad pada Disember lalu menamatkan cengkaman keluarga pemimpin itu selama beberapa dekad ke atas kuasa di negara Asia Barat itu, sekali gus menandakan berakhirnya perang saudara yang berlarutan selama bertahun-tahun, mengorbankan lebih daripada setengah juta nyawa dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.-AFP.