NEW YORK, 11 Mac- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa kekurangan air yang teruk di Gaza telah mencapai tahap kritikal.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), UNICEF memaklumkan bahawa hanya satu daripada 10 orang yang kini mempunyai akses kepada air minuman selamat, menyebabkan 90 peratus penduduk terjejas.
Pegawai organisasi itu di Gaza, Rosalia Poulin, melaporkan bahawa 600,000 orang telah memperoleh semula akses kepada air minuman pada November 2024, namun bekalan tersebut kembali terputus.
Agensi PBB menganggarkan bahawa 1.8 juta orang, lebih separuh daripadanya adalah kanak-kanak, memerlukan bantuan segera dalam aspek bekalan air, sanitasi, dan kesihatan.
Keadaan di Gaza bertambah buruk selepas Israel menyekat bekalan elektrik, sekali gus menyebabkan gangguan serius terhadap operasi penyahgaraman air.