RAMALLAH, 11 Mac- Seorang wanita warga emas dari Jenin terbunuh akibat tembakan tentera Israel pada Selasa, menurut sumber tempatan.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Persatuan Bulan Sabit Merah melaporkan bahawa pasukannya telah memindahkan jenazah wanita berusia 60 tahun itu dari pos pemeriksaan tentera Jalameh ke Hospital Kerajaan Jenin.
Sumber perubatan di hospital mengesahkan bahawa jenazah seorang wanita telah dibawa ke bilik kecemasan dari pos pemeriksaan Jalameh.
"Pada waktu subuh, tentera penjajah menyerbu kejiranan timur, mengepung sebuah rumah dan menyerang mangsa dengan bom energa.
"Seorang pemuda turut cedera, namun pasukan perubatan dihalang daripada memberikan bantuan kepada mangsa.
"Tentera Israel juga mengepung sebuah bangunan di Khallet al-Sawha berhampiran kem Jenin, memaksa penduduk keluar sebelum menahan dan menyoal siasat mereka di jalanan.
"Di Jalan Haifa, di sebelah barat bandar, tentera penjajah mengepung Lavender Hall dan melepaskan tembakan bom energa ke arah bangunan tersebut," lapor WAFA.
Serangan Israel ke atas bandar Jenin dan kem pelarian itu kini memasuki hari ke-50, dengan jumlah korban meningkat kepada 31 rakyat Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera.