MOSCOW, 11 Mac- Moscow menjadi sasaran serangan besar-besaran dron Ukraine dalam serangan semalaman yang mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut dan tiga lagi cedera.
"Kementerian Pertahanan terus menangkis serangan besar-besaran dron musuh ke atas Moscow," kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin pada Selasa menerusi Telegram.
Dalam satu kemas kini, beliau memaklumkan bahawa pasukan pertahanan udara telah menembak jatuh 69 dron yang menuju ke ibu negara Rusia itu.
Gabenor Wilayah Moscow, Andrei Vorobyov mengesahkan bahawa serpihan dron telah merosakkan sekurang-kurangnya tujuh unit kediaman di sebuah kawasan perumahan di tenggara bandar itu.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam sebelum pertemuan penting antara pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine di Arab Saudi pada Selasa.
Ukraine dijangka mengemukakan pelan gencatan senjata separa kepada Washington dalam usaha mendapatkan semula sokongan sekutu utamanya itu.
Di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, AS telah mendesak Ukraine membuat konsesi bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama tiga tahun.
Perbincangan di Arab Saudi itu adalah yang paling tinggi sejak pertemuan di Rumah Putih bulan lalu, di mana Trump dikatakan menegur Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky atas dakwaan tidak menghargai sokongan AS.
Sejak insiden itu, Washington telah menggantung bantuan ketenteraan kepada Ukraine termasuk perkongsian risikan dan akses kepada imej satelit, sebagai tekanan untuk memaksa Kiev ke meja rundingan.- AFP