fb fb fb fb fb

Korea Utara uji dua peluru berpandu pertahanan udara baharu - KCNA

Foto AFP

SEOUL, 24 Ogos- Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah menyelia ujian tembakan dua peluru berpandu pertahanan udara "baharu", selepas Pyongyang menuduh Seoul mencetuskan ketegangan di sempadan.

Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), ujian tembakan pada Sabtu, menunjukkan dua sistem senjata peluru berpandu baharu itu mempunyai "keupayaan tempur yang unggul".

Laporan itu tidak menjelaskan peluru berpandu baharu tersebut secara terperinci, namun operasi dan tindak balas Korea Utara dibuat berdasarkan teknologi unik dan istimewa.

Ia juga tidak menyatakan di mana ujian itu telah dijalankan.

"Tembakan itu khususnya membuktikan bahawa ciri-ciri teknologi dua jenis peluru sangat sesuai untuk memusnahkan pelbagai sasaran udara," demikian menurut KCNA.

Terdahulu, Tentera Korea Selatan memaklumkan, mereka telah melepaskan tembakan amaran ke arah beberapa askar Korea Utara yang secara ringkas melintasi sempadan ketenteraan yang memisahkan kedua-dua negara pada Selasa.

Media kerajaan Pyongyang memetik Leftenan Jeneral Tentera Ko Jong Chol sebagai berkata insiden itu adalah "provokasi yang dirancang dan disengajakan".

Beliau turut menyifatkan insiden terbabit sebagai permulaan yang sangat serius dan boleh mecetuskan ketegangan di kawasan sempadan.

Pemimpin baharu Korea Selatan, Lee Jae Myung telah mencari hubungan yang lebih mesra dengan Korea Utara.

Beliau juga berikrar untuk membina kepercayaan, tetapi Pyongyang menegaskan tidak berminat untuk memperbaiki hubungan dengan Seoul. -AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello