TEHRAN, 24 Ogos- Tentera Iran telah membunuh enam militan dalam satu serbuan di kawasan tenggara yang bergolak.
Media kerajaan melaporkan, mereka yang dibunuh adalah ahli kumpulan "pengganas" yang dikaitkan dengan Israel, musuh ketat Iran.
"Semasa pertempuran sengit dengan pengganas di wilayah Sistan-Baluchistan, enam penyerang terbunuh manakala dua lagi ditahan," kata agensi berita rasmi IRNA, memetik kenyataan daripada perkhidmatan perisikan.
Laporan itu tidak memberikan lokasi tepat atau menyatakan bila serbuan itu berlaku.
Sistan-Baluchistan, bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, telah lama menjadi lokasi panas yang menyaksikan pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan bersenjata, termasuk pengedar dadah dan pemisah.
Menurut IRNA, terdapat bukti menunjukkan 'sifat Zionis' kumpulan pengganas itu yang disasarkan dalam serbuan terbaharu.
Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan kewarganegaraan mangsa.
Dua ejen perisikan dan seorang pegawai polis cedera dalam pertempuran terbabit.
Iran kerap melaporkan serangan hendap maut di wilayah itu yang menyasarkan polis atau anggota Kor Pengawal Revolusi Islam.
Pada Jumaat, kumpulan Sunni Jaish al-Adl, yang diisytiharkan Tehran sebagai organisasi "pengganas", mendakwa serangan di Sistan-Baluchistan mengorbankan lima pegawai polis.
Pada Ahad, media Iran memaklumkan, pasukan keselamatan telah membunuh tujuh anggota kumpulan lain, Ansar al-Furqan, juga di Sistan-Baluchistan.
Wilayah itu, yang menempatkan minoriti Baluch Muslim Sunni yang besar, merupakan salah satu wilayah termiskin di negara majoriti Syiah berkenaan. -AFP