KHARTOUM, 24 Ogos- Sekurang-kurangnya 158 kematian akibat wabak kolera direkodkan di Darfur, Sudan sejak akhir Mei lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan kerajaan negeri yang dikawal pasukan separa tentera RSF, sejumlah 2,880 kes direkodkan setakat ini.
Daripada jumlah itu, 158 daripadanya maut manakala 42 kes, dua daripadanya maut, pada hari Jumaat sahaja.
Badan amal perubatan Doctors Without Borders (MSF) memaklumkan, wabak kolera adalah yang paling teruk di Sudan dalam beberapa tahun dan mengancam untuk merebak ke negara jiran di Sudan Selatan dan Chad.
Taun adalah jangkitan usus akut yang merebak melalui makanan dan air yang tercemar dengan bakteria, selalunya daripada najis.
Ia boleh membunuh dalam beberapa jam apabila tidak dirawat, walaupun ia boleh dirawat dengan rehidrasi oral yang mudah, dan antibiotik untuk kes yang lebih teruk.
Menurut MSF, perpindahan besar-besaran orang awam yang dicetuskan oleh perang telah memburukkan lagi wabak berkenaan.
Penyampaian bantuan kemanusiaan juga menjadi hampir mustahil.
Lebih dua tahun pertempuran antara tentera Sudan dengan pasukan RSF telah menyebabkan akses kepada bantuan menyelamatkan nyawa, terbantut.
Kawasan sekitar ibu negeri Darfur Utara El-Fasher, telah dikepung RSF sejak Mei tahun lalu.
Agensi PBB telah memberi amaran mengenai keadaan mengerikan bagi penduduk awam yang masih terperangkap di kawasan terbabit. -AFP