fb fb fb fb fb

Korea Utara tembak peluru berpandu balistik ke laut

Foto: AFP

SEOUL, 26 Jun- Tentera Korea Selatan mendakwa Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik ke arah kawasan laut hari ini, lapor agensi berita Yonhap.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan, berkata pihaknya mengesan insiden itu dan sedang menjalankan analisis, namun tidak memberikan perincian lanjut mengenainya.

Pejabat Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menerusi platform media sosial X memaklumkan, Korea Utara disyaki melepaskan peluru berpandu balistik.

"Peluru berpandu balistik yang disyaki dilepaskan oleh Korea Utara itu dijangka tidak sampai ke Jepun," katanya mengenai peluru berpandu yang disasarkan ke bahagian Laut Timur atau dikenali sebagai Laut Jepun.

Tindakan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan rentas sempadan yang semakin meningkat susulan Korea Utara menghantar belon berisi sampah ke Korea Selatan.

Kali terakhir Korea Utara melancarkan peluru berpandu pada 30 Mei lalu apabila Seoul menuduh Pyongyang melepaskan sekitar 10 peluru berpandu balistik jarak dekat.

Sehari selepas itu, media Korea Utara mengeluarkan imej pemimpinnya, Kim Jong-un yang menyelia ujian sistem pelancar roket berbilang.

Sebagai tindak balas, Seoul sebelum ini bertindak menggantung sepenuhnya perjanjian ketenteraan bagi mengurangkan ketegangan dan memulakan semula beberapa siaran propaganda daripada pembesar suaranya di sepanjang sempadan.

Adik perempuan Kim Jong-un dan jurucakap utama kerajaan, Kim Yo-jong bulan ini memberi amaran bahawa Seoul akan menyaksikan tindakan balas baharu Republik Demokratik Rakyat Korea jika tindakan melepaskan belon sarat dengan risalah anti-Kim Jong-un dan siaran menerusi pembesar suara di sempadan diteruskan.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI