fb fb fb fb fb

Korea Utara, Rusia setuju tingkatkan hubungan ketenteraan

Kim Jong Un dan Andrei Belousov/ AFP

SEOUL, 30 November- Menteri Pertahanan Rusia Andrei Belousov bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara, lapor media tempatan Pyongyang pada Sabtu.

Amerika Syarikat dan Korea Selatan menuduh Korea Utara menghantar lebih 10,000 askar untuk membantu Rusia memerangi Ukraine.

Menurut pakar pemimpin Korea Utara itu mahu mendapatkan teknologi canggih, dan pengalaman pertempuran untuk tenteranya, sebagai balasan.

Kim bertemu Belousov pada Jumaat mengecam keputusan kuasa Barat yang membenarkan Kiev menyerang Rusia dengan senjata mereka. Menurut KCNA ia merupakan "campur tangan tentera secara langsung dalam konflik itu."

Presiden Rusia Vladimir Putin dan Kim menandatangani perjanjian perkongsian strategik pada Jun yang memerlukan kedua-dua negara memberikan bantuan ketenteraan selain bersama-sama menentang sekatan Barat.

KCNA pada Sabtu melaporkan, lawatan Belousov "akan menyumbang kepada memperkukuh keupayaan pertahanan kedua-dua negara dan... menggalakkan persahabatan, kerjasama serta pembangunan hubungan antara kedua-dua tentera."

Belousov dalam satu kenyataan turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama kedua-dua negara dan memuji "kebebasan dasar luar negara."

Penganalisis mencadangkan Pyongyang menggunakan Ukraine sebagai cara untuk menyelaras semula dasar luarnya.

Korea Utara meletakkan negara itu dalam ekonomi perang Rusia sebagai pembekal senjata, sokongan ketenteraan dan buruh. Ia juga berpotensi memintas sekutu tradisional, negara jiran dan rakan dagang utama China.

Rusia juga menawarkan akses kepada sumber asli yang luas, seperti minyak dan gas.

Penganalisis kanan di Institut Penyatuan Nasional Korea Hong Min memberitahu AFP, Belousov berada pada kedudukan baik untuk membantu dengan pengaturan sedemikian.

Sebagai Ketua Pertahanan Rusia, beliau pakar dalam "strategi jangka panjang untuk mendapatkan senjata dan bekalan ketenteraan, mengelak sekatan, dan menyelia pembinaan semula selepas perang," kata Hong.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI