fb fb fb fb fb

Korea Utara nafi eksport senjata kepada Rusia

(Foto menunjukkan bumbung bangunan kediaman rosak selepas dibedil di Kharkiv
pada 21 September 2022, di tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine / AFP)

SEOUL, 22 September- Korea Utara pada Rabu menafikan mereka menyalurkan senjata kepada Rusia, beberapa minggu selepas Amerika Syarikat berkata Moscow beralih kepada Pyongyang untuk menambah stoknya yang habis ekoran pencerobohan ke atas Ukraine.

“Kami tidak pernah mengeksport senjata atau peluru ke Rusia sebelum ini dan kami tidak merancang untuk mengeksportnya,” kata seorang pegawai di Biro Kelengkapan Am kementerian pertahanan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kenyataan itu dibuat selepas White House mengeluarkan kenyataan pada awal September bahawa Rusia membeli peluru artileri dan roket daripada Korea Utara untuk kegunaan perangnya di Ukraine.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby berkata, Amerika Syarikat percaya pembelian itu melibatkan berjuta-juta peluru, roket dan peluru meriam.

Bagaimanapun, memetik perisikan AS yang tidak diklasifikasikan, beliau menegaskan pada masa itu bahawa pembelian belum selesai dan tiada tanda-tanda senjata tersebut digunakan di Ukraine.

Pyongyang yang bersekutu dengan Moscow mengecam Amerika Syarikat dalam kenyataan itu, mengatakan Washington dan "pasukan bermusuhan lain" "menyebarkan khabar angin tentang urusan senjata antara DPRK dan Rusia.

"Kami memberi amaran kepada AS supaya berhenti membuat kenyataan melulu," katanya, sambil menekankan Korea Utara mengekalkan hak untuk mengeksport peralatan ketenteraan.

White House berkata pembelian peluru artileri daripada kerajaan Korea Utara serta perjanjian untuk membeli dron tentera dari Iran, menunjukkan Rusia berada dalam keadaan tersepit selepas beberapa bulan sekatan ekonomi dan teknologi Barat. -AFP


(Foto Hiasan)

Media Baharu