fb fb fb fb fb

ChinaJoy 2025: Permainan interaktif AI tarik minat pengunjung

Pengunjung mencuba permainan interaktif yang disediakan oleh lebih 700 syarikat penyedia produk permainan digital di Pameran ChinaJoy 2025di Shanghai/Foto REUTERS

SHANGHAI, 3 Ogos - Pameran hiburan digital terbesar di Asia, China Digital Entertainment Expo and Conference (ChinaJoy) 2025, membuka tirainya di Shanghai pada Jumaat.

Lebih 700 syarikat hiburan mempamerkan produk permainan digital terkini mereka sepanjang acara empat hari itu.

Tumpuan utama pameran tahun ini ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara kreatif dalam permainan video, yang semakin mengubah pengalaman pengguna dan pembangunan permainan.

Antara tarikan utama ialah sebuah permainan interaktif yang membolehkan pemain bersembang dengan pelbagai watak maya, setiap satunya mempunyai personaliti unik. AI generatif yang digunakan dalam permainan itu mempelajari gaya komunikasi pemain dan menyesuaikan respons berdasarkan keperluan emosi mereka.

Permainan tersebut dijangka dilancarkan secara dalam talian pada Oktober ini, dengan sasaran pasaran termasuk Jepun, Korea Selatan, dan Asia Tenggara.

“Jika kita lihat hari ini, pemain mahukan permainan berkualiti tinggi. Mereka juga mahu mengekspresikan diri dalam permainan. AI membolehkan pembangunan permainan yang lebih baik dan pengalaman yang lebih peribadi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CreateAI, Lu Cheng.

Menurut data industri, lebih 80 peratus syarikat permainan di China kini menggunakan teknologi AI dalam pembangunan mereka.

“Kalau manusia perlukan sehari untuk siapkan projek, AI hanya perlukan 20 saat untuk lengkapkan 80 peratus kerja. Pereka bentuk manusia hanya perlu ambil masa 30 minit hingga sejam untuk siapkan selebihnya,” ujar Ketua Pusat Seni di Shengqu Games, Lin Rui.

Berdasarkan data pasaran dari market.us, nilai pasaran AI generatif dalam industri permainan global telah mencecah lebih AS$1.4 bilion pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan melebihi 25 peratus.

ChinaJoy terus menjadi pentas utama bagi menunjukkan masa depan industri permainan kali ini, dengan AI sebagai enjin utama perubahan. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI