BARCELONA, 3 Ogos - Pasukan kecemasan Sepanyol meneruskan usaha mencari dua individu yang berada dalam sebuah pesawat akrobatik yang terhempas di laut berhampiran pantai utara pulau Mallorca.
Menurut Pengawal Awam dalam satu kenyataan pada Ahad, saksi melihat pesawat tersebut menjunam ke dalam laut pada petang Sabtu, selepas melakukan beberapa aksi akrobatik berhampiran pelabuhan Sóller.
Pesawat itu dipercayai berlepas kira-kira dua jam lebih awal untuk melakukan pertunjukan udara sebelum terhempas.
Pasukan penyelamat telah menemui beberapa serpihan pesawat, namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda kelibat juruterbang dan seorang penumpang yang dipercayai berada di dalam pesawat tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan di kawasan perairan terlibat. - AFP