RAMALLAH, 3 Ogos - Ratusan rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Ramallah dan Hebron, mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan solidariti terhadap Gaza.
Peserta mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan membantah sekatan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusia ke wilayah tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu, enam lagi nyawa terkorban akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban akibat krisis itu mencecah 175 orang, termasuk 93 kanak-kanak.
"Angka ini membuktikan bahawa Gaza kini menghadapi krisis kemanusiaan yang sangat kritikal," ujar kementerian tersebut.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa bantuan melalui udara sahaja tidak mencukupi untuk membantu rakyat Gaza yang kebuluran.
Sehubungan itu, Israel didesak membuka laluan bantuan darat yang lebih luas ke wilayah yang musnah akibat perang itu, di mana kebuluran semakin meluas. - REUTERS