WARSAW, 3 Ogos - Kerajaan Poland akan melanjutkan kawalan sempadan sementara dengan Jerman dan Lithuania sehingga 4 Oktober ini.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri dan Pentadbiran, Marcin Kierwiński, dalam satu taklimat keselamatan sempadan yang diadakan di Warsaw pada Ahad.
“Kawalan ini pada asalnya diperkenalkan untuk tempoh sebulan, tetapi seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, kami memutuskan untuk melanjutkannya selama dua bulan lagi.
“Pada bulan September, kami akan membuat keputusan seterusnya berdasarkan data daripada Pasukan Pengawal Sempadan, Tentera, dan Polis,” kata Kierwiński.
Menurut beliau, kawalan ketat di sempadan Poland telah menyebabkan penghijrahan haram dan campur tangan oleh pihak perkhidmatan Belarus dan Rusia beralih ke kawasan sempadan lain.
“Migrasi haram kini bergerak ke Lithuania dan Latvia. Ini isu asas yang perlu kami tangani bersama rakan-rakan dalam Kesatuan Eropah (EU),” tambahnya.
Setakat 7 Julai hingga 2 Ogos lepas, seramai 493 individu telah diperiksa di sempadan Poland-Jerman dan Lithuania. Daripada jumlah itu, 185 warga asing telah dinafikan kemasukan, kebanyakannya disebabkan kekurangan dokumen sah.
Keputusan Poland untuk mengekalkan kawalan di sempadan dalaman Zon Schengen terus menjadi cabaran terhadap prinsip pergerakan bebas yang menjadi asas kepada EU.
Pihak berkuasa Poland menegaskan bahawa langkah ini perlu untuk menguruskan aliran migrasi tidak teratur dan menangani isu keselamatan di sepanjang sempadan barat dan timur laut negara itu. - VIORY