fb fb fb fb fb

OPEC+ umum tambahan pengeluaran minyak 547,000 tong sehari

Pengeluaran minyak akan ditingkatkan sebanyak 547,000 tong sehari bermula September ini/Foto REUTERS

VIENNA, 3 Ogos - Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mengumumkan akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 547,000 tong sehari (bpd) bermula September ini.

Langkah itu merupakan kesinambungan kepada kenaikan pengeluaran sebanyak 548,000 tong sehari pada bulan Ogos.

Ia sebahagian daripada pelan untuk mengurangkan pemotongan pengeluaran secara berperingkat yang dilaksanakan sebelum ini bagi menstabilkan harga minyak global.

Menurut kenyataan rasmi di laman web OPEC, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat secara maya yang melibatkan negara anggota seperti Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman.

Menurut kenyataan itu lagi, peningkatan pengeluaran mungkin ditangguhkan atau dibatalkan, bergantung kepada perkembangan semasa pasaran minyak dunia.

Langkah ini dilihat sebagai usaha OPEC+ untuk mengimbangi permintaan tenaga global dan kestabilan harga minyak, khususnya dalam situasi ekonomi yang tidak menentu. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI