SEOUL, 31 Disember - Korea Utara merancang untuk melancarkan tiga lagi satelit pengintip tentera di orbit pada 2024 sebagai organisasi perisikan tentera bebas.
"Tugas melancarkan tiga satelit pengintip tambahan pada 2024 diumumkan sebagai salah satu keputusan dasar utama pada mesyuarat parti akhir tahun," menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Pyongyang berjaya meletakkan satelit pengintip tentera ke orbit bulan lalu dan sejak itu, pihaknya mendakwa mencerap imej tapak tentera utama Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, republik itu belum mendedahkan sebarang imej satelit yang didakwa diperolehnya sambil memberi amaran sebarang serangan ke atas aset angkasanya akan dianggap sebagai 'pengisytiharan perang'.
Mesyuarat selama lima hari itu, berakhir semalam yang dihadiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Pada mesyuarat itu, Kim berkata beliau tidak akan mencari jalan ke arah perdamaian dan penyatuan semula dengan Korea Selatan.
Kim menyatakan bahawa situasi krisis yang tidak terkawal dilihat masih berterusan di semenanjung Korea selepas tercetusnya kerjasama Seoul dan Washington.
Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan ketenteraan gabungan terbesar mereka sejak 2018.
Kedua-dua negara itu sudah lama menjalankan latihan bersama, yang ditegaskan hanya sebagai pertahanan semata-mata, namun Korea Utara melihatnya sebagai latihan untuk pencerobohan.
"Saya percaya ini adalah satu kesilapan yang tidak boleh diulangi lagi untuk mempertimbangkan mereka yang menganggap kita sebagai 'musuh utama'," kata Kim yang dipetik daripada KCNA.
Usaha Korea Utara sebelum ini untuk meletakkan satelit pengintip ke orbit pada Mei dan Ogos kedua-duanya gagal.
Seoul, Tokyo dan Washington telah berulang kali memberi amaran kepada Pyongyang supaya tidak meneruskan pelancaran lain, yang akan melanggar resolusi PBB.
KCNA berkata pelancaran satelit peninjau adalah hak sah Korea Utara untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan diri ketika negara itu menghadapi apa yang dipanggil ancaman dari Korea Selatan dan AS. - AFP