(Gambar tidak bertarikh yang diambil dari tempoh 4 hingga 7 April 2023 dan dikeluarkan oleh KCNA pada 8 April 2023
menunjukkan sistem senjata strategik bawah air yang tenggelam di Laut Timur.
FOTO AFP/KCNA VIA KNS)
SEOUL, 8 April- Korea Utara mendakwa telah menguji satu lagi dron serangan nuklear dalam air, susulan tindak balas terbarunya terhadap latihan ketenteraan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, penganalisis mempersoalkan sama ada Pyongyang mempunyai senjata sedemikian, yang dikatakan diuji buat kali kedua.
Menurut media rasmi, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), sebuah institut penyelidikan sains pertahanan negara di Korea Utara yang secara rasmi dikenali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) itu menjalankan ujian sistem senjata strategik bawah air itu.
"Ujian itu dijalankan dari 4 hingga 7 April lalu. Dron serangan nuklear bawah air 'Haeil-2' meluncur pada jarak 1,000 kilometer (km) membabitkan simulasi dalam air," katanya.
Sementara itu, menurut KCNA, ujian senjata peledak itu meletup dengan tepat di bawah air.
"Ujian itu membuktikan kebolehpercayaan sistem senjata strategik bawah air dan keupayaan serangan maut," katanya.
Pada 23 Mac lalu, Korea Utara mendakwa mereka sedang menguji dron serangan nuklear bawah air yang mampu melancarkan 'tsunami radioaktif'.
Imej satelit juga menunjukkan aktiviti tahap tinggi di kompleks nuklear utama Korea Utara selepas pemimpin Kim Jong-un mengarahkan pengeluaran bahan senjata gred nuklear dipertingkatkan.
Tahun lalu, Korea Utara mengisytiharkan negara itu sebagai kuasa nuklear yang 'tidak dapat diubah' manakala Jong-un memberitahu tenteranya untuk meningkatkan latihan sebagai persediaan bagi perang sebenar. -AFP
(FOTO AFP/KCNA VIA KNS)