(Helikopter tentera China melintasi pulau Pingtan, titik paling dekat dengan Taiwan
di wilayah Fujian tenggara China pada 7 April 2023/AFP)
BEIJING, 8 April- China mengumumkan negaranya melancarkan latihan ketenteraan selama tiga hari di perairan dekat sekeliling Selat Taiwan
Jurucakap Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Kolonel Kanan Shi Yi berkata, latihan digelar 'United Sharp Sword' itu akan berlangsung mulai 8 hingga 10 April untuk kesiapsiagaan tempur.
PLA dalam kenyataan menjelaskan, 'United Sharp Sword' akan melibatkan latihan rondaan di Selat Taiwan ke utara dan selatan Taiwan, juga di laut serta ruang udara ke timur Taiwan.
Bagaimanapun, lokasi sebenar latihan berkenaan tidak dinyatakan.
Langkah itu susulan pertemuan antara Presiden Taiwan,Tsai Ing-wen dan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat, Kevin McCarthy di California
China memandang Taiwan yang memiliki pemerintahan sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar untuk merampasnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Taiwan mengesahkan tiga kapal perang dan 13 pesawat China berada di sekitar pulau berkenaan pada pukul 6.00 pagi tadi waktu tempatan. -AFP
(Bot tunda Tentera Laut PLA belayar di Selat Taiwan pada 7 April 2023/AFP)