fb fb fb fb fb

Korea Utara dakwa Korea Selatan lepas tembakan amaran di sempadan

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un/ Foto Fail/ AFP

SEOUL, 23 Ogos – Korea Utara mendakwa tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran di kawasan sempadan antara kedua-dua negara pada Selasa lalu, dan menyifatkan insiden itu sebagai satu provokasi yang disengajakan, lapor agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Korea Utara turut mendakwa bahawa sistem amaran oleh tentera Korea Selatan di kawasan sempadan semakin meningkat.

Sejak tahun lalu, Korea Utara giat membina halangan dan tembok keselamatan di sempadan yang dikawal ketat, di samping meletupkan jalan dan landasan kereta api yang pernah menghubungkan Korea Utara dan Selatan dalam usaha kerjasama dua hala sebelum ini.

Menurut KCNA, Korea Utara akan bertindak balas terhadap sebarang cubaan menghalang projek pembinaan tersebut dan tidak akan bertanggungjawab terhadap akibat yang serius jika amaran seterusnya di kawasan sempadan diabaikan.

Kenyataan itu dipetik daripada Naib Ketua Turus Am Tentera Korea Utara, Leftenan Jeneral Ko Jong Chol.

Sementara itu, Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) dalam satu kenyataan berkata pada Selasa lalu, kira-kira pukul 3 petang waktu Seoul (0600 GMT), beberapa anggota tentera Korea Utara yang sedang bekerja di kawasan sempadan telah melintasi Garisan Pemisah Ketenteraan antara kedua-dua Korea.

Sebagai tindak balas, tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran dan tentera Korea Utara kemudiannya berundur ke utara garisan tersebut.

Bagaimanapun, JCS tidak memberikan penjelasan lanjut.

Kenyataan Korea Utara itu bercanggah dengan kenyataan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, pada minggu lalu yang menyatakan bahawa pemerintahannya akan menamatkan beberapa aktiviti ketenteraan di sepanjang sempadan dengan Korea Utara, sebagai sebahagian daripada usaha terbaharu untuk memperbaiki hubungan antara dua negara jiran yang masih berada dalam keadaan konflik.

Dalam laporan berasingan KCNA pada Sabtu, Korea Utara juga mengutuk latihan ketenteraan bersama antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan, menyifatkannya sebagai 'latihan provokatif yang melampau' seperti persiapan untuk peperangan.

Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebelum ini menegaskan bahawa latihan tersebut bersifat pertahanan semata-mata, dan bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap sebarang ancaman.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN