fb fb fb fb fb

Korea Utara bantah cadangan Jepun miliki senjata nuklear

Kim Jong Un/REUTERS

SEOUL, 21 Disember- Korea Utara memberi amaran bahawa usaha Jepun untuk memiliki senjata nuklear perlu dihentikan sepenuhnya tanpa kompromi, susulan laporan seorang pegawai Tokyo mencadangkan negara itu wajar memiliki senjata atom.

Pegawai berkenaan, yang tidak dinamakan, dilaporkan berkata Jepun akhirnya hanya boleh bergantung kepada dirinya sendiri untuk keselamatan negara.

Kenyataan itu disifatkan Pyongyang sebagai pendedahan terbuka cita-cita nuklear Jepun yang melangkaui “garis merah”.

Pengarah Institut Kajian Jepun di bawah Kementerian Luar Korea Utara menegaskan jika Jepun memperoleh senjata nuklear, negara-negara Asia berisiko menghadapi bencana nuklear yang dahsyat.

Kenyataan Pyongyang itu tidak menyentuh program nuklear mereka sendiri, yang bermula dengan ujian pertama pada 2006 dan melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Korea Utara dipercayai memiliki puluhan hulu ledak nuklear dan berulang kali menegaskan ia tidak akan melepaskan senjata tersebut walaupun berdepan sekatan antarabangsa, dengan alasan untuk mengekang ancaman ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, sebelum ini menyatakan kesediaan mengadakan rundingan dengan Washington, namun hanya jika Pyongyang dibenarkan mengekalkan senjata nuklearnya, sekali gus menegaskan pendirian negara itu dalam isu keselamatan dan kedaulatan. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM