PHNOM PENH, 21 DISEMBER - Lebih setengah juta penduduk Kemboja terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran sempadan selama dua minggu dengan Thailand, menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan seramai 518,611 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dipindahkan kerana serangan artileri, roket dan pengeboman udara yang didakwa melibatkan pesawat pejuang F-16 Thailand.
Di pihak Thailand pula, kira-kira 400,000 penduduk dilaporkan terjejas akibat konflik sempadan yang kembali memuncak.
Pertempuran terbaharu antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang di Thailand dan 19 orang di Cambodia, melibatkan penggunaan kereta kebal, dron dan artileri.
Konflik berpunca daripada pertikaian wilayah sempadan sepanjang 800 kilometer yang diwarisi sejak era kolonial, termasuk kawasan tapak kuil purba di sempadan kedua-dua negara.
China, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN serta Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata, manakala menteri luar ASEAN dijadual bermesyuarat di Kuala Lumpur bagi membincangkan konflik berkenaan.