GYEONGJU, 9 September - Bandar purba Gyeongju, Korea Selatan kini giat membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun hadapan.
Gyeongju, yang dikenali sebagai "taman sejarah, jambatan masa depan" memenangi bidaan selaku tuan rumah APEC 2025 pada 27 Jun lalu, menewaskan pesaing lain seperti Pulau Jeju dan Incheon.
APEC 2025 menyaksikan Korea Selatan selaku tuan rumah buat kali ketiga, dengan kali pertama diadakan di Seoul pada 1991 dan kali kedua di Busan (2005).
Pengarah Perhubungan Awam Bandar Gyeongju, Son Dea Ki berkata bandar itu komited untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh dialog yang membina dan kerjasama serantau dalam kalangan ahli APEC demi kemakmuran ekonomi bersama dan perpaduan pelbagai hala di rantau Asia Pasifik.
“APEC 2025 akan memperkukuh peranan negara sebagai peneraju global, bukan sahaja dalam pemuliharaan budaya dan industri masa depan, tetapi juga dalam menggalakkan kewujudan bersama secara aman, keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Pasifik,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi meja bulat bersama kumpulan tujuh wartawan asing yang melawat bandar itu untuk melihat persiapan APEC 2025.
Selain perbincangan, para wartawan dari Malaysia, Republik Czech, Mesir, Argentina, El Salvador, Paraguay dan Peru turut dibawa melawat tempat penganjuran APEC 2025 termasuk lokasi utama, Pusat Konvensyen Antarabangsa Hwabaek (HICO) dan pusat Hwangnyongwon.
Berbaki 14 bulan sebelum Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dijadualkan berlangsung pada Nov 2025, kempen dan promosi acara itu sedang giat dijalankan.
Bahan pemasaran seperti sepanduk dan poster jelas kelihatan menghiasi jalan dan bangunan di seluruh bandar.
Di taman awam, pengumuman perkhidmatan awam mengenai Gyeongju sebagai tuan rumah APEC 2025 turut disiarkan, menyeru penduduk untuk memberi sokongan, sementara perniagaan swasta termasuk kedai makan juga digalakkan untuk mempromosikan acara itu secara meluas.
“Sebaik sahaja pengumuman dibuat bahawa Gyeongju dipilih sebagai tuan rumah, kami segera menggerakkan semua sumber untuk persiapan penuh APEC 2025, termasuk menaik taraf kemudahan utama dan memastikan kesalinghubungan infrastruktur yang lancar,” kata ketua pasukan perancangan dan penyelarasan Jawatankuasa Persiapan APEC, Lim Wang Tack.
Pelan itu merangkumi menaik taraf kemudahan utama di bandar itu, memastikan infrastruktur beroperasi dengan baik serta menganjurkan program dan acara berkaitan menjelang AELM 2025, katanya.
Gyeongju akan menganjurkan persidangan akademik kebudayaan tradisional 21 negara dan 14 projek lain, termasuk Forum Antarabangsa APEC Korea.
Syarikat-syarikat utama Korea seperti Korea Hydro & Nuclear Power (KHNP), SK dan Samsung akan menganjurkan ekspo industri antarabangsa yang mempamerkan kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta industri masa depan.
Selain terkenal dengan warisan budaya dan sejarah yang kaya, Gyeongju yang terletak 275 kilometer ke tenggara Seoul juga merupakan hab penting industri maju dan pembangunan ekonomi di Korea Selatan terutamanya membabitkan tenaga nuklear, alat ganti automotif dan pembuatan.
“Kami berharap melalui APEC 2025, ia akan menjadi platform yang baik untuk kami berkongsi pengalaman pembangunan ekonomi Korea Selatan dan strategi masa depan, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ini,” kata Lim.
Beliau juga berkata bahawa APEC 2025 membuka peluang bagi Korea Selatan mempamerkan budaya dinamiknya yang dikenali sebagai Gelombang Korea (Hallyu) kepada pemimpin APEC dan dunia, serta mempromosikan Gyeongju sebagai destinasi pelancongan global yang terkemuka.
Menurut penganjur, AELM 2025 dijangka memudahkan perbincangan penting yang bertujuan untuk merealisasikan nilai teras masa depan Wawasan Putrajaya 2040.
Pelan tindakan konkrit yang memfokuskan kepada perdagangan, pelaburan, inovasi, pertumbuhan inklusif dan kemampanan dijangka dibangunkan, membolehkan anggota APEC mengejar kemakmuran ekonomi di rantau Asia Pasifik melalui kerjasama erat.
Lebih 20,000 pemimpin dan delegasi dijangka menyertai APEC 2025, dan ia diunjurkan menjana kesan ekonomi melebihi KRW1.8 trilion (sekitar US$1.3 bilion) di seluruh negara.
Ditubuhkan pada 1989, APEC kini terdiri daripada 21 anggota.
Malaysia dan Korea Selatan adalah antara 12 anggota pengasas bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai organisasi itu pada 1993, manakala Chile pada 1994 diikuti Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998.
APEC, dengan gabungan populasi sekitar 3 bilion, menyumbang 62 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48 peratus perdagangan dunia pada 2021.
Korea Selatan akan mengambil alih jawatan selaku tuan rumah APEC daripada Peru pada November ini.- BERNAMA