fb fb fb fb fb

"Tumpuan Israel perlu beralih kepada Lubnan"- mantan menteri kabinet perang Netanyahu

Mantan Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz / AFP

WASHINGTON, 9 September- Mantan Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz berkata bahawa Israel perlu menumpukan perhatian kepada Hezbollah dan sempadan Lubnan.

Israel dan Hezbollah yang disokong Iran saling membalas serangan rentas sempadan hampir setiap hari, dengan kumpulan pejuang dari Lubnan itu menyatakan bahawa ia bertindak bagi menyokong sekutunya, Hamas dalam peperangan yang berterusan di Gaza.

"Kami mempunyai tentera yang secukupnya untuk menangani Gaza dan kami sepatutnya memberi tumpuan terhadap apa yang berlaku di utara," kata Gantz di Washington semasa forum Timur Tengah di mana beliau turut berkata bahawa Iran dan sekutu-sekutunya merupakan "masalah sebenar".

"Masanya sudah tiba bagi musuh kami di utara dan saya fikir kami terlewat menanganinya," kata mantan ketua tentera itu.

Gantz berkata bahawa Israel membuat kesilapan semasa memindahkan sebahagian besar penduduk di kawasan utara Gaza ketika persengketaan dengan Hezbollah memuncak berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang mencetuskan perang Gaza.

"Di Gaza, kami telah melangkah titik penentu pada kempen kami. Kami boleh lakukan apa-apa yang kami mahukan di Gaza.

"Kami perlu berusaha mendapatkan perjanjian untuk membebaskan tebusan kami tetapi jika kami tidak boleh melakukannya dalam masa terdekat, dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu, kami perlu menuju ke utara."

"Kami berupaya... menyerang Lubnan jika perlu," katanya.

Beliau turut berkata bahawa kisah Hamas adalah kisah lama, sambil menambah bahawa "kisah Iran dan sekutu-sekutunya di sekeliling kawasan itu serta apa yang dilakukan mereka merupakan masalah sebenar."

Gantz mengundurkan diri daripada pemerintah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jun kerana ia tidak mempunyai rancangan pasca perang buat Gaza.

Hamas didakwa menculik 251 tebusan semasa serangan itu di mana 97 daripadanya masih ditahan di Gaza, termasuk 33 yang menurut tentera Israel sudah mati.

Serangan balas Israel di Gaza setakat ini meragut nyawa sekurang-kurangnya 40,972 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyatakan kebanyakan yang mati adalah wanita dan kanak-kanak.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant juga merujuk kepada situasi di sempadan Lubnan pada Ahad semasa lawatan ke Koridor Netzarim di bahagian tengah Gaza, memaklumkan tentera mereka sedang bersiap sedia untuk apa-apa yang mungkin berlaku di utara.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI