BERLIN, 9 September- Agensi perisikan domestik Jerman memberi amaran bahawa kumpulan siber milik Unit Perisikan Tentera Rusia (GRU) 29155 melakukan serangan siber terhadap negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam catatan di platform media sosial X hari ini, Bundesverfassungsschutz berkata ia mengeluarkan amaran terhadap kumpulan yang dikenali sebagai UNC2589 itu bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) dan agensi keselamatan siber AS, CISA, NSA serta rakan kongsi antarabangsa lain.
Amaran itu dikeluarkan ketika kebimbangan memuncak di Eropah terhadap penggodam dan pengintip Rusia, yang disyaki berleluasa sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.
Awal tahun ini, Berlin menuduh Rusia melakukan banyak serangan siber terhadap Demokrat Sosial yang memerintah Jerman serta syarikat dalam sektor logistik, pertahanan, aeroangkasa dan teknologi maklumat (IT).
Dalam amarannya, agensi perisikan itu berkata kumpulan berkenaan juga dikenali sebagai Cadet Blizzard atau Ember Bear, menjalankan aktiviti bagi tujuan pengintipan dan sabotaj yang sering melibatkan kerosakan laman sesawang dan penerbitan data yang dicuri.
Unit GRU yang dimilikinya terkenal kerana disyaki terlibat dalam kes meracun bekas ejen berganda Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia, di Britain pada 2018, menurut agensi itu. - REUTERS