SEOUL, 21 Disember- Korea Selatan dan Jepun akan mengadakan rundingan ekonomi peringkat tinggi pada Khamis buat kali pertama selepas lapan tahun, kata Kementerian Luar Seoul.
Perkara itu merupakan lanjutan untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara selain kebimbangan geopolitik bersama.
Rundingan itu, pertama kali dimulakan pada 1999 dan ia terhenti sejak 2016 kerana hubungan antara dua sekutu Amerika Syarikat (AS) itu terjejas berikutan pertikaian sejarah yang berpunca daripada pendudukan Jepun pada 1910-1945 di Korea.
Tetapi Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol menjadikan keutamaan untuk memperbaiki hubungan dengan Tokyo sejak memegang jawatan itu pada 2022.
Menurut Kementerian Luar Seoul, pihak Korea Selatan akan diwakili oleh Timbalan Menteri Luar Negeri (Hal Ehwal Ekonomi) Kang Jae-kwon, yang akan menilai kerjasama ekonomi dua hala dan membincangkan dasar keselamatan ekonomi dengan rakan sejawatannya dari Jepun Timbalan Menteri Luar Kanan Keiichi Ono.
Awal tahun ini, Korea Selatan mengumumkan rancangan untuk syarikatnya memberi pampasan kepada individu yang terpaksa bekerja semasa pendudukan Jepun pada 1910-1945 ketika ia ingin menamatkan pertelingkahan.
Peningkatan kerjasama tiga hala Jepun, Korea Selatan dan Washington turut mengumumkan pelancaran sistem perkongsian data peluru berpandu masa nyata untuk membantu memantau program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.
Pada Julai, Jepun juga mengembalikan Korea Selatan ke dalam "senarai putih" untuk eksport selepas menarik balik sekatan eksport bahan berteknologi tinggi ke Korea Selatan pada Mac.
Namun begitu, masih terdapat perbezaan dalam hubungan antara Jepun dan Korea Selatan.- REUTERS