PARIS, 21 Disember- Empat pekerja Teknologi Maklumat (IT) Perancis yang mempunyai pasport dan visa diplomatik telah ditahan di salah sebuah bandar di Burkina Faso, Ouagadougou, menurut sumber diplomatik Perancis pada Rabu.
Sumber berkenaan turut menafikan laporan media sebelum ini yang menyatakan keempat-empat rakyat Perancis itu sebagai pengintip.
Tambah sumber yang enggan namanya dikenali itu, empat penjawat awam Perancis itu tiba di negara Afrika Barat itu bagi tujuan menyelenggarakan IT bagi kedutaan Perancis, tetapi ditahan pada 1 Disember dan dipindahkan ke penjara Ouagadougou pada 14 Disember.
Selasa lalu, Majalah berita Perancis Jeune Afrique telah menerbitkan artikel mendakwa bahawa Burkina Faso elah menahan empat warga Perancis yang bekerja untuk agensi perisikan luar Perancis DGSE.
"Kerajaan Perancis mengambil perhatian prosiding undang-undang yang sedang berjalan, tetapi menolak tuduhan bahawa juruteknik tersebut dihantar ke Burkina Faso atas tujuan selain kerja penyelenggaraan IT.
"Ia meminta agar warga Perancis berkenaan kembali segera ke Perancis," kata sumber itu.
Sementara itu, kerajaan Burkina Faso enggan memberi komen berkaitan perkara berkenaan.
Hubungan yang semakin memburuk di antara junta tentera di Burkina Faso dan Perancis baru-baru ini membawa kepada perintah pengusiran pegawai diplomatik, termasuk duta Perancis, dan penggantungan beberapa media Perancis.-REUTERS