fb fb fb fb fb

Korea Selatan, China, Jepun ikrar tingkatkan kerjasama tiga hala

Menteri Luar Korea Selatan Park Jin (kanan) berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi sebelum pertemuan di Busan, Korea Selatan / Foto Reuters

SEOUL, 26 November - Menteri-Menteri Luar Korea Selatan, China dan Jepun bertemu di Korea Selatan pada Ahad dalam usaha untuk menjalinkan kembali kerjasama dalam kalangan jiran Asia dan membuka jalan kepada sidang kemuncak tiga hala.

Pada masa sama, China dan Amerika Syarikat (AS)sedang membaiki hubungan yang renggang, termasuk sidang kemuncak bulan ini antara Presiden Xi Jinping dan Joe Biden, Beijing bimbang Washington dan sekutu serantau utamanya memperkukuh perkongsian tiga hala mereka.

Beijing, Tokyo dan Seoul telah bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak setiap tahun bermula pada 2008 untuk memperkukuh pertukaran diplomatik dan ekonomi, namun rancangan itu telah dihalang oleh pertikaian dua hala dan pandemik COVID-19.

Pertemuan terakhir tiga hala dalam kalangan pemimpin-pemimpin itu adalah pada tahun 2019.

Menteri Luar Korea Selatan Park Jin bertemu secara berasingan pada pagi Ahad dengan rakan sejawatnya dari Jepun Yoko Kamikawa dan Wang Yi dari China.

Park dan Kamikawa mengutuk pelancaran Korea Utara minggu lalu ke atas satelit pengintip pertamanya dan bersetuju untuk meningkatkan tindak balas terhadap transaksi senjata antara Pyongyang dan Moscow, kata kementerian luar Seoul dalam satu kenyataan.

Dengan nada kerjasama, Kamikawa meminta mahkamah Korea Selatan memberi pampasan kepada sekumpulan wanita yang terpaksa bekerja di rumah pelacuran zaman perang Jepun dan meminta kerajaan Korea Selatan mengambil langkah yang sewajarnya, lapor agensi berita Kyodo Jepun.

Pada pertemuan Kamikawa dan Wang pada Sabtu, kedua-dua meraka menyatakan harapan untuk dialog keselamatan antara Tokyo dan Beijing diadakan "dalam masa terdekat".

Wang menekankan keperluan untuk kedua-dua pihak memastikan bahawa mereka "tidak menimbulkan ancaman kepada satu sama lain" dan menghormati "kebimbangan sah masing-masing", menurut kementerian luar China.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida telah mengambil langkah untuk membaiki hubungan yang terumbang-ambing oleh sejarah dan pertelingkahan perdagangan dan mengadakan sidang kemuncak bersejarah tiga hala pada Ogos dengan Biden.

Wang memberi amaran pada bulan Julai bahawa usaha AS untuk mengukuhkan hubungan dengan Seoul dan Tokyo boleh menimbulkan ketegangan dan konfrontasi serantau.-REUTERS

<<Menteri Luar Korea Selatan Park Jin (kanan) berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi sebelum pertemuan di Busan, Korea Selatan / Foto Reuters>>

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN