fb fb fb fb fb

China, AS saling berbalas tuduhan ke atas kapal AS di Laut China Selatan

Foto Reuters

BEIJING, 26 November - China dan Amerika Syarikat (AS) saling tuduh menuduh berhubung pertikaian di Laut China Selatan selepas tentera China berkata ia telah mengusir kapal perang AS dalam apa yang dikatakan oleh Tentera Laut AS sebagai rutin pengendalian pelayaran.

Menurut catatan di akaun media sosial WeChat rasmi Tentera Pembebasan Rakyat China Komando Selatan pada Sabtu, tentera China mengerahkan tentera laut dan udaranya untuk "menjejaki, memantau dan memberi amaran" kepada AS.

Tentera Laut AS berkata pada Ahad bahawa Hopper telah "menegaskan hak pelayaran di Laut China Selatan berdekatan Kepulauan Paracel, selaras dengan undang-undang antarabangsa".

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, saluran untuk lebih $3 trilion perdagangan tahunan bawaan kapal, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Mahkamah Tetap Timbang Tara pada 2016 berkata tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang.

Filipina dan Australia memulakan rondaan laut dan udara bersama pertama mereka di laut pada Sabtu, beberapa hari selepas Beijing menuduh Manila meminta pasukan asing untuk meronda di Laut China Selatan, merujuk kepada rondaan bersama oleh tentera Filipina dan AS.

Insiden hujung minggu ini, kata China, "membuktikan bahawa Amerika Syarikat adalah 'pencipta risiko keselamatan' di Laut China Selatan".

Timbalan jurucakap Armada ke-7 AS, Leftenan Kristina Weidemann berkata dalam satu kenyataan melalui e-mel: "Amerika Syarikat mencabar tuntutan maritim yang berlebihan di seluruh dunia tanpa mengira identiti penuntut.

"Tuntutan maritim yang menyalahi undang-undang meluas di Laut China Selatan menimbulkan ancaman serius terhadap kebebasan lautan."

Awal bulan ini, Amerika Syarikat dan China mengadakan perbincangan mengenai isu maritim, termasuk Laut China Selatan yang dipertikaikan, di mana AS menggariskan kebimbangan mengenai tindakan China yang dikatakan "berbahaya dan menyalahi undang-undang", kata Jabatan Negara AS.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN