ANDONG, 27 Mac – Korea Selatan berdepan kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negara, dengan angka korban mencecah 26 orang dan puluhan ribu hektar tanah musnah.
Kebakaran yang bermula di daerah Uiseong telah merebak pantas, memusnahkan lebih 33,000 hektar hutan dan beberapa kuil bersejarah.
Pihak berkuasa menyatakan ia melebihi rekod terdahulu sebanyak 24,000 hektar dalam kebakaran Mac 2000.
Pemangku Presiden, Han Duck-soo menyifatkan situasi itu sebagai kritikal, dengan kebakaran merebak luar biasa pantas.
Pihak tentera telah membekalkan stok bahan api bagi memastikan lebih 120 helikopter terus beroperasi dalam usaha memadam kebakaran, terutamanya di kawasan pergunungan yang sukar diakses.
Keadaan semakin buruk dengan angin kencang dan cuaca kering yang mempercepatkan penyebaran api ke arah timur, hampir ke kawasan pantai.
Walaupun hujan dijangka turun di beberapa kawasan, jumlahnya terlalu kecil untuk membantu usaha pemadaman.
Pakar menyatakan kebakaran tersebut mencerminkan peningkatan risiko akibat perubahan iklim, dengan suhu lebih tinggi menjadikan landskap kering sebagai bahan bakar mudah terbakar.-REUTERS