BEIJING, 27 Mac – Diplomat tertinggi Perancis, Jean-Noel Barrot akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, serta pegawai lain hari ini bagi membincangkan isu-isu sensitif termasuk perang di Ukraine dan ketegangan perdagangan antara Beijing dan Eropah.
Lawatan rasmi Menteri Luar Perancis itu dilihat sebagai langkah memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Beijing dalam kenyataannya berharap rundingan tersebut dapat mempererat kerjasama antara China dan Perancis dalam menghadapi dunia yang sedang mengalami "turmoil dan transformasi".
Selain itu, China turut menyatakan bahawa perbincangan akan melibatkan usaha "menentang unilateralisme dan kebangkitan semula hukum rimba" – satu kenyataan yang dipercayai ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kembalinya Trump ke White House, Januari lalu dilihat mengubah keseimbangan kuasa dunia serta menimbulkan ketegangan baharu dalam hubungan antarabangsa.
Walaupun hubungan Perancis dan China semakin rapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Paris tetap menekan Beijing berhubung hubungan eratnya dengan Moscow, yang semakin kukuh sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Rundingan antara kedua-dua negara dijangka tertumpu kepada usaha mencari penyelesaian terhadap konflik Ukraine, yang sehingga kini belum dikecam oleh Beijing.
Selain itu, perbincangan turut melibatkan isu-isu Asia Barat serta ketegangan perdagangan antara China dan Kesatuan Eropah.
Dalam rangka lawatannya, Barrot dijadualkan mengunjungi Universiti Bahasa dan Budaya Beijing sebelum bertemu Wang Yi.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan seorang pegawai kanan China pada sebelah petang.
Seterusnya, Barrot akan berlepas ke Shanghai pada Jumaat bagi merasmikan loji pengeluaran hidrogen milik kumpulan Air Liquide serta menghadiri forum perniagaan Perancis-China di bandar raya itu.-AFP