SINGAPURA, 27 Mac – Kajian terbaharu mendapati kawasan dasar laut di Lautan Pasifik yang telah dilombong lebih 40 tahun lalu masih belum pulih sepenuhnya, mengukuhkan gesaan agar semua aktiviti perlombongan dasar laut dihentikan sementara dalam rundingan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.
Ekspedisi 2023 ke Zon Clarion Clipperton oleh saintis dari Pusat Oseanografi Kebangsaan Britain mendapati kesan daripada ujian perlombongan pada 1979 masih ketara, menjejaskan ekosistem kompleks yang menjadi habitat ratusan spesies hidupan laut.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature menunjukkan pengumpulan nodul polimetalik dari jalur lapan meter dasar laut telah menyebabkan perubahan jangka panjang pada sedimen dan mengurangkan populasi organisma besar.
Namun, beberapa spesies lebih kecil dan mudah bergerak mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
"Bukti ini penting dalam memahami kesan jangka panjang," kata ketua ekspedisi NOC, Daniel Jones. "Walaupun ada kawasan yang tidak menunjukkan pemulihan, sesetengah kumpulan haiwan mula menjajah semula dan bertambah populasi."
Delegasi dari 36 negara kini menghadiri mesyuarat Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa (ISA) di Kingston, Jamaica untuk membincangkan sama ada syarikat perlombongan harus dibenarkan mengekstrak logam seperti tembaga dan kobalt dari dasar laut.
Ketika ratusan pindaan terhadap draf kod perlombongan diteliti, kumpulan alam sekitar menggesa aktiviti perlombongan dihentikan.
Gesaan itu disokong oleh 32 kerajaan serta 63 syarikat dan institusi kewangan utama.
"Bukti ini semakin jelas menunjukkan perlunya kerajaan bertindak sekarang untuk menghentikan perlombongan dasar laut sebelum ia bermula," kata aktivis Greenpeace, Louise Casson.-REUTERS