WASHINGTON, 27 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas kereta dan trak ringan import, berkuat kuasa 3 April.
Langkah itu dijangka meningkatkan harga kenderaan dan menjejaskan industri automotif.
Trump menyatakan tarif tersebut bertujuan mengimbangi pemotongan cukai serta menghidupkan semula industri perkilangan AS.
Bagaimanapun, pemimpin dunia seperti Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai merugikan pengguna dan menjejaskan pekerja.
Sementara itu, Kesatuan Pekerja Automotif Amerika (UAW) menyokong langkah tersebut, menyatakan ia boleh mengembalikan pekerjaan bergaji tinggi ke AS.
Namun, saham syarikat automotif jatuh, manakala Indeks S&P 500 susut 1.1 peratus berikutan kebimbangan pelabur terhadap kesan tarif tersebut.
Tarif itu berdasarkan siasatan keselamatan negara AS pada 2019, yang mendapati import kenderaan menjejaskan keselamatan negara.
Bagaimanapun, pengecualian sementara diberikan kepada alat ganti automotif yang mematuhi Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) sehingga proses penetapan tarif dimuktamadkan.
Kajian Pusat Penyelidikan Automotif menjangkakan harga kenderaan akan meningkat ribuan dolar dan jualan kereta baharu akan terjejas, sekali gus memberi kesan kepada pekerjaan dalam sektor pembuatan.
Trump turut memberi bayangan bahawa tarif global yang bakal diumumkan pada 2 April akan lebih ringan daripada yang dijangkakan, menyatakan ia mungkin lebih rendah daripada kadar tarif yang dikenakan negara lain ke atas AS selama beberapa dekad.-REUTERS