fb fb fb fb fb

Taufan Tino ragut 26 nyawa di Filipina

Anggota penyelamat mengusung seorang penduduk dan kelihatan kereta turut dihanyutkan banjir ketika Taufan Kalmaegi melanda Cebu City, tengah Filipina/Foto AFP

MANILA, 5 November - Seramai 26 orang dilaporkan terkorban akibat Taufan Tino, juga dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Kalmaegi, yang melanda beberapa kawasan di wilayah Visayas dan Mindanao, menurut Pejabat Pertahanan Awam (OCD).

Jurucakap OCD Junie Castillo memberitahu pemberita bahawa 22 daripada mangsa maut direkodkan di Visayas Tengah, dua di Wilayah Pulau Negros, manakala masing-masing seorang di Visayas Barat dan Visayas Timur, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

“Semua laporan ini sedang disemak dan disahkan oleh Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara (NDRRMC),” kata Castillo.

Sebahagian besar kematian dilaporkan berpunca daripada lemas.

Castillo berkata kira-kira 387,000 orang telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga dari kawasan yang berada dalam laluan Tino.

Setakat pukul 4 petang, Calamian, Kepulauan Cuyo serta bahagian tengah dan selatan wilayah Antique dan Iloilo, termasuk Guimaras, masih berada di bawah Amaran Angin Taufan No. 4 ketika Tino mengekalkan kekuatannya sambil bergerak ke arah Laut Sulu, menurut jabatan kaji cuaca negara itu.

Taufan Tino dijangka memasuki Laut Sulu pada Selasa malam dan melintasi utara Palawan sebelum keluar ke Laut Filipina Barat pada pagi Rabu .

Tino, taufan ke-20 yang melanda Filipina tahun ini, dijangka meninggalkan Kawasan Tanggungjawab Filipina (PAR) pada Rabu malam atau Khamis. - BERNAMA-PNA

 

GRACE AISYAH KEDAYAN