fb fb fb fb fb

Korea Selatan, AS dan Jepun perkukuh kerjasama, jika ancaman Korea Utara berterusan

FOTO REUTERS

SEOUL, 21 Ogos- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menegaskan bahawa kerjasama tiga hala dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun akan diperkukuh jika ancaman dari Korea Utara terus meningkat.

Beliau membuat kenyataan itu pada mesyuarat kabinet beberapa hari selepas beliau mengambil bahagian dalam perbincangan dengan pemimpin-pemimpin AS dan Jepun di mana mereka bersetuju untuk memperdalam kerjasama ketenteraan dan ekonomi.

"Struktur kerjasama tiga hala di antara Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun akan menjadi lebih kukuh apabila provokasi dan ancaman Korea Utara meningkat," kata Yoon semasa pertemuan yang disiarkan secara langsung di televisyen, sambil memaklumkan apa yang disebutnya sebagai "pembukaan era baharu" dalam hubungan ketiga-tiga negara.


(FOTO REUTERS)

Perkongsian tiga hala itu akan berkembang menjadi rangka kerja yang kukuh untuk menggalakkan keamanan serantau bersama-sama dengan pakatan AUKUS antara AS, Britain dan Australia, dan kumpulan Quad AS, Jepun, India dan Australia.

Sidang kemuncak yang berlangsung di pemukiman presiden Camp David itu merupakan pertemuan khas pertama antara AS dan Jepun serta Korea Selatan, ketika mereka berusaha untuk mengunjurkan perpaduan dalam menghadapi kuasa China yang semakin meningkat dan ancaman nuklear dari Korea Utara.

Yoon berkata kerjasama tiga hala itu tidak mengecualikan negara lain dan ia akan menyumbang kepada kebebasan, keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia.- REUTERS

 

Media Baharu