fb fb fb fb fb

Pembunuhan calon bayangi Pilihan Raya Presiden Ecuador

(FOTO AFP)

QUITO, 20 Ogos- Penduduk Ecuador keluar mengundi dalam Pilihan Raya Presiden yang dicemari pembunuhan calon utama.

Undian dibuka pada 7:00 pagi waktu tempatan (1200 GMT) hingga 5.00 petang.

Rakyat Ecuador memilih pengganti Guillermo Lasso, yang memanggil pilihan raya mengejut untuk mengelak perbicaraan pemecatan, hanya dua tahun selepas beliau memegang jawatan presiden.

Pasukan tentera telah dikerahkan ke seluruh negara kecil Amerika Selatan itu berikutan kempen tegang yang menyaksikan lapan calon presiden berkempen dengan mengenakan jaket kalis peluru.

Ecuador sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi lubuk bagi mafia dadah asing mengeksport kokain.

Persaingan sengit mencetuskan permusuhan bersenjata antara kartel dadah.

Beberapa pembunuhan politik dilaporkan menjelang pengundian, dengan pembunuhan pencabar serius presiden Fernando Villavicencio hanya 11 hari dari tarikh pilihan raya menggariskan cabaran getir dihadapi negara.

“Ini adalah pilihan raya yang tidak tipikal, dalam situasi yang pada asasnya ngeri yang dialami Ecuador disebabkan keganasan sedia ada, menjadi lebih teruk dan kejam dengan pembunuhan Villavicencio," kata saintis politik, Anamaria Correa Crespo.

Pada 2022, Ecuador mencatatkan rekod 26 pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk, lebih tinggi daripada kadar di Colombia, Mexico dan Brazil. -AFP

(Seorang wanita mengundi di pusat mengundi di Quito semasa pilihan raya presiden Ecuador
dan referendum mengenai perlombongan dan petroleum/AFP)

Media Baharu