fb fb fb fb fb

Bank pusat di barat dan timur Libya kembali bersatu

(Menara El Emad dan Hotel Corinthia di Tripoli ibu negara Libya/AFP)

TRIPOLI, 20 Ogos- Bank pusat Libya mengumumkan penyatuan semula dua cawangannya yang bersaing di barat dan timur negara itu selepas hampir sedekad terpisah.

Negara Afrika Utara itu kini berpecah antara kerajaan Abdelhamid Dbeibah yang disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu di barat dengan satu lagi di timur yang disokong oleh pemimpin Tentera Kebangsaan Libya (LNA), Khalifa Haftar.

Libya telah menyaksikan konflik "pasang surut" selama 12 tahun sejak pemberontakan yang disokong NATO pada 2011 menggulingkan Presiden Moamer Kadhafi.

Bank Pusat Libya (CBL) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh gabenor dan timbalannya memaklumkan ia telah sekali lagi menjadi sebuah institusi berdaulat yang bersatu.

Bank itu telah berpecah sejak 2014, antara ibu pejabat yang diiktiraf antarabangsa di Tripoli dengan satu lagi di Bayda di timur yang dikuasai Haftar.

Al-Seddik al-Kebir, gabenor bank yang berpangkalan di Tripoli, dan Marii Moftah Rahil, gabenor cawangan saingan di timur, membuat pengumuman itu selepas mesyuarat yang dihadiri perunding dan pengarah kedua-dua cawangan.

Kenyataan itu menyebut mereka juga akan meneruskan usaha untuk mengatasi kesan perpecahan.

Proses untuk menyatukan semula bank pusat bermula pada Disember 2021 selepas perpecahan yang disebabkan perebutan kuasa. -AFP

(Pemandangan luar Bank Negara Libya di Tripoli/REUTERS)

Media Baharu