SEONGNAM, 16 Oktober- Korea Selatan akan memulakan pameran pertahanan terbesarnya minggu ini,sebagai usaha untuk menarik jualan senjatanya pada Pameran Aeroangkasa dan Pertahanan Antarabangsa Seoul (ADEX).
Acara dwitahunan itu bakal membuka pameran pada Selasa.
Menurut penganjur, akan ada lebih banyak penyertaan syarikat berbanding sebelum ini dan selain penerbangan daripada pesawat B-52 milik Amerika Syarikat (AS).
Ketua pejabat penganjur Lee Jong-ho dalam satu ucapan berkata, pertunjukan tahun ini direka untuk membantu Korea Selatan mencapai matlamatnya menjadi pengeksport senjata ke-4 terbesar di dunia.
Lebih 450 pegawai kanan pertahanan dari 54 buah negara dijangka hadir, bersama ratusan ribu profesional lain dan orang awam.
"Ini adalah peluang bagi industri pertahanan Korea untuk menarik perhatian antarabangsa dan melakukan lonjakan besar ke depan," kata Lee.
Kerajaan Korea telah menetapkan matlamat untuk mencapai $20 bilion dalam eksport pertahanan tahun ini berbanding tahun lepas iaitu sebanyak $17.3 bilion. Ia termasuk perjanjian besar dengan Poland untuk kereta kebal, howitzer, pesawat perang, dan roket.
Korea Selatan menduduki tempat ke-9 di dunia untuk eksport pertahanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun Presiden Yoon Suk Yeol menyeru agar prestasi itu bertambah baik.
Peserta pameran membuat persiapan terakhir di pangkalan udara tentera Korea Selatan di selatan Seoul.
Bagi memperingati ulang tahun ke-70 pakatan Korea Selatan dengan AS, pertunjukan itu akan menampilkan aset tentera AS yang lebih besar daripada biasa, termasuk penerbangan B-52 kata Kolonel Tentera Udara AS Charles Cameron.
Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah meningkatkan paparan kekuatan, terutamanya aset berkeupayaan nuklear dalam usaha menghalang Korea Utara.- REUTERS