fb fb fb fb fb

Kontraktor warga Malaysia terbabit rasuah terburuk Tentera Laut AS lari dari tahanan rumah

(Leonard Francis (tengah) adalah kontraktor tentera warga Malaysia)

WASHINGTON, 6 September - Seorang kontraktor tentera yang mengaku bersalah dalam skandal rasuah terburuk Tentera Laut AS terlepas daripada tahanan rumah di San Diego, kata Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

"Leonard Francis memotong gelang buku lali pemantauan GPSnya pagi Ahad," kata Timbalan Penyelia Marsyal AS Omar Castillo kepada AFP dalam satu kenyataan.

Dikenali secara meluas sebagai "Leonard Gemuk," Francis sepatutnya dijatuhkan hukuman dalam masa tiga minggu, kata media AS.

Francis, warga Malaysia yang mengendalikan sebuah syarikat kontrak tentera luar dari Singapura, mengaku bersalah pada 2015 kerana menawarkan rasuah kira-kira AS$500,000 kepada pegawai Tentera Laut untuk mengarahkan kerja rasmi ke limbungan kapalnya, yang menurut pendakwa raya dia mengenakan bayaran berlebihan kepada Tentera Laut sehingga mencecah AS$35 juta.

Polis dihantar ke kediamannya di San Diego pada Ahad selepas agensi yang memantau gelang buku lalinya melaporkan masalah dengan peranti itu, kata Castillo.

"Setibanya mereka, tiada sesiapa di rumah," katanya.

"Mereka kemudian memberitahu Marshal AS yang pergi ke rumah itu dan mengesahkan bahawa dia tidak lagi di sana. Buat masa ini siasatan sedang dijalankan berdasarkan bberapa petunjuk.

Akhbar San Diego Union melaporkan bahawa gelang GPS yang dipotong ditemui di dalam rumah, manakala jiran berkata mereka telah melihat lori pindah rumah U-Haul datang dan pergi ke kediaman tersebut beberapa hari sebelum dia melarikan diri.

Francis ditahan pada 2013 dan mengaku bersalah dua tahun kemudian. Dia mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kanser buah pinggang, menyebabkan dia dibebaskan ke tahanan rumah pada 2018 sambil bertindak sebagai saksi untuk pendakwa raya persekutuan.

Dia sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September.

Empat pegawai Tentera Laut AS telah didapati bersalah dalam kes itu setakat ini, manakala 29 orang lagi, termasuk pegawai tentera laut, kontraktor dan Francis sendiri, mengaku bersalah, kata media AS. -AFP


(Leonard Francis (kanan)/Foto Twitter)

Media Baharu