BANGKOK, 20 Disember – Thailand menutup sementara lebih 1,000 sekolah di kawasan sempadan susulan pertempuran bersenjata terbaharu antara tentera Thailand dan Kemboja di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Kementerian Pendidikan Thailand pada Jumaat mengarahkan penggantungan sesi persekolahan di tujuh wilayah sempadan, melibatkan 1,060 sekolah, bagi menjamin keselamatan pelajar dan guru.
Wilayah Buriram antara paling terjejas, dengan lebih 100 sekolah ditutup.
Penduduk yang dipindahkan, termasuk kanak-kanak dan remaja, kini berlindung di pusat perlindungan sementara, dengan ada yang terpaksa meninggalkan rumah selama lebih 10 hari akibat bunyi tembakan berterusan.
Pertempuran kembali tercetus pada 7 Disember, kurang dua bulan selepas Thailand dan Kemboja menandatangani pengisytiharan bersama keamanan, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari sebagai pencetus konflik. -REUTERS