MOSCOW, 14 Ogos - Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijadual bertemu di Alaska pada Jumaat bagi membincangkan prospek menamatkan perang di Ukraine serta potensi besar yang belum dimanfaatkan dalam hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Menurut pembantu Kremlin, Yuri Ushakov, Ukraine akan menjadi fokus utama perbincangan, namun isu keselamatan serta hal ehwal antarabangsa lain turut akan dibincangkan.
Ushakov turut memaklumkan, perbincangan akan merangkumi kerjasama perdagangan dan ekonomi yang disifatkannya mempunyai potensi besar, tetapi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Sidang kemuncak tersebut merupakan yang pertama antara kedua-dua negara sejak pertemuan Putin dengan Joe Biden pada Jun 2021.
Delegasi Rusia ke sidang kemuncak itu termasuk Menteri Luar, Sergei Lavrov; Menteri Pertahanan, Andrei Belousov; Menteri Kewangan, Anton Siluanov; dan utusan khas bagi pelaburan serta kerjasama ekonomi, Kirill Dmitriev. -REUTERS
BERITA BERKAITAN: