fb fb fb fb fb

Konflik Israel-Iran: Britain dan Mesir arah syarikat penerbangan elak ruang udara Iran

Foto Reuters

LONDON, 8 Ogos - Britain dan Mesir meminta syarikat penerbangan mereka pada Rabu supaya mengelak ruang udara Iran dan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat tentang kemungkinan konflik yang lebih meluas di rantau itu.

Nasihat Britain kepada syarikat penerbangannya untuk mengelak ruang udara Lubnan datang beberapa jam selepas Mesir mengarahkan semua syarikat penerbangannya untuk mengelak ruang udara Iran selama tiga jam pada awal pagi Khamis.

Kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia sedang menyemak semula jadual mereka untuk mengelak ruang udara Iran dan Lubnan sambil turut membatalkan penerbangan ke Israel dan Lubnan.

Penerbangan melalui zon konflik menjadi isu keselamatan industri yang menjadi keutamaan sedekad lalu selepas penerbangan Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang.

United Airlines yang berpangkalan di Amerika Syarikat, berkata pada Rabu penerbangannya ke Tel Aviv, yang ditangguhkan pada 31 Julai kerana kebimbangan keselamatan, kekal digantung.

"Kami terus memantau keadaan dengan teliti dan akan memberi tumpuan kepada keselamatan pelanggan dan anak kapal kami ketika kami memutuskan bila untuk menyambung semula perkhidmatan," kata syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, syarikat penerbangan Mesir juga telah mengelak ruang udara Iran di mana arahan baharu itu terpakai kepada semua syarikat penerbangan Mesir, termasuk pengendali sewa dan syarikat penerbangan lain yang lebih kecil.

Notis keselamatan yang dikeluarkan kepada juruterbang berkata arahan itu akan berkuat kuasa dari 0100 hingga 0400 GMT pada hari Khamis.

"Semua syarikat penerbangan Mesir hendaklah mengelak daripada terbang di Tehran (Wilayah Maklumat Penerbangan). Tiada pelan penerbangan akan diterima untuk terbang di wilayah tersebut," kata notis itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN