PORT-AU-PRINCE, 13 September - Penduduk yang dipindahkan dari kawasan Solino di Port-au-Prince mendakwa mereka hidup dalam keadaan daif dan menuntut jaminan keselamatan daripada kerajaan sebelum kembali ke rumah masing-masing, hampir setahun selepas kumpulan bersenjata Viv Ansanm melancarkan serangan berdarah yang memaksa mereka melarikan diri.
Serangan pada 14 November 2024 itu mengorbankan orang awam serta anggota polis, sekali gus memaksa penduduk meninggalkan kediaman dan mencari perlindungan di khemah sementara.
Saksi memaklumkan kumpulan bersenjata itu turut menjarah rumah, membakar bangunan serta memusnahkan harta benda. Meskipun mendapat sokongan Misi Sokongan Keselamatan Multinasional (MSS) yang diketuai Kenya, polis Haiti masih bergelut untuk mengembalikan kawalan keselamatan.
Awal minggu ini, ketua geng terkenal Jimmy “Barbeque” Cherizier menarik keluar anggota kumpulannya dari beberapa kawasan di timur laut Port-au-Prince dan menyeru bekas penduduk pulang ke rumah melalui rakaman video yang tersebar di media sosial. Namun, majoriti masih takut serta mendakwa kehilangan segalanya.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memulakan perbincangan berhubung draf resolusi bagi mengukuhkan serta memperluas pasukan antarabangsa yang berdepan kesukaran mengekang geng bersenjata. Bagaimanapun, pakar keselamatan tempatan memberi amaran cadangan tersebut masih kabur.
Konflik berlarutan menyaksikan geng bersenjata menguasai hampir keseluruhan ibu negara Haiti itu, memaksa kira-kira 1.3 juta penduduk meninggalkan rumah, meragut ribuan nyawa serta mencetuskan kebuluran.
Draf resolusi yang dikemukakan Amerika Syarikat dan Panama itu mencadangkan transformasi MSS yang kekurangan dana serta anggota menjadi pasukan baharu dikenali sebagai Gang Suppression Force.-REUTERS