SAN JOSE, 13 September - Polis Costa Rica menahan empat individu disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang bekas pegawai tentera Nicaragua yang hidup dalam buangan, pada Jun lalu.
Mangsa, Roberto Samcam, bekas Mejar Sandinista, ditembak mati di kondominiumnya di pinggir ibu negara San Jose. Beliau dikenali sebagai pengkritik lantang terhadap kerajaan Nicaragua pimpinan Presiden Daniel Ortega.
Menurut pihak berkuasa, antara yang ditahan ialah seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai orang tengah antara penembak dengan pihak yang mengarahkan pembunuhan itu.
Ketua Badan Siasatan Kehakiman Costa Rica, Randall Zuniga memaklumkan, dalang utama masih belum diberkas dan setakat ini tiada bukti kaitan pembunuhan tersebut dengan mana-mana negara luar.
Sejak protes besar-besaran anti-kerajaan pada 2018, ramai tokoh pembangkang Nicaragua melarikan diri ke Costa Rica.
Protes itu, menurut kumpulan hak asasi, telah ditindas dengan kekerasan sehingga ratusan nyawa terkorban. Samcam sebelum ini turut menuduh tentera Ortega terlibat dalam tindakan kekerasan tersebut.-REUTERS